Rahim, merupakan bahagian trek pembiakan wanita di dalam pelvis yang disokong oleh pelbagai otot, tisu dan ligamen agar tetap pada kedudukan asalnya.
Kewujudannya khusus untuk membenarkan embrio melekat pada dinding dalamnya dan membekalkan makanan yang berkhasiat kepada janin yang sedang membesar dari darah ibu.
Rahim yang tidak hamil berbentuk buah pear berukuran kira-kira 7.5 sentimeter panjang dan terampai di dalam kaviti pelvis.
Bahagian atasnya disambungkan ke dua tiub fallopio manakala bahagian bawahnya pula menyambungkan faraj kepada serviks.
Ada ketikanya, proses kehamilan dan kelahiran ataupun sebarang kesukaran yang dialami ketika bersalin menyebabkan otot-otot lantai pinggul menjadi lemah.
“Kehilangan hormon estrogen secara semula jadi menyebabkan rahim seseorang wanita itu jatuh ke dalam faraj dan kadangkala terkeluar dari saluran faraj.
“Keadaan ini dikenali sebagai rahim jatuh (prolaps) di mana rahim seakan-akan melorot ke bawah melalui saluran faraj,” kata Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan sebuah hospital swasta di Pulau Pinang, Dr. Suresh Kumarasamy.
Walaupun prolaps tidak mengancam nyawa namun keadaannya yang teruk berupaya menjejaskan kualiti kehidupan pesakit seperti mengalami kesukaran berjalan.
Prolaps merangkumi beberapa peringkat:
* Peringkat awal; hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa
* Peringkat kedua; pintu rahim jatuh sampai ke permukaan faraj
* Peringkat akhir; keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj turut dikenali sebagai tombong.
Ada pelbagai faktor yang menyumbang kepada prolaps terutamanya disebabkan oleh faktor usia dan proses melahirkan anak.
“Selepas menopaus, proses atropi atau kekecutan pada tisu, ligamen dan otot dalam jangka panjang akan menyebabkan prolaps akibat ketandusan hormon estrogen.
“Prolaps yang teruk sering berlaku pada wanita berusia lebih 60 tahun yang mengalami menopaus,” katanya.
Kekurangan hormon yang menimbulkan kelemahan pada otot dan ligamen peranakan juga, ujar beliau, boleh berlaku ekoran pembedahan pembuangan ovari akibat penyakit-penyakit tertentu.
Selain itu, kata Dr. Suresh, kehamilan dan kelahiran juga boleh menyebabkan berlakunya kekenduran atau kelemahan pada semua tisu di sekeliling peranakan, khususnya otot lantai punggung yang biasanya memegang faraj dan mendukung rahim.
“Kelahiran yang memakan masa lama dan sukar sehingga memerlukan ibu meneran dengan kuat mungkin menyumbang kepada berlakunya prolaps.
“Kelahiran normal atau menggunakan alat bantuan seperti penyepit iaitu forsep atau vakum juga berupaya merosakkan ligamen-ligamen dan otot di sekeliling faraj,” katanya.
Faktor lain termasuklah kekoyakan semasa bersalin yang tidak dijahit terutamanya jika wanita bersalin di rumah.
Dr. Suresh berkata, bebanan yang berlebihan seperti semasa kehamilan mahupun ketumbuhan fibroid sekali- pun kecil, mampu memberikan tekanan kepada rahim untuk jatuh ke bawah.
Malah, ujarnya, tekanan pada perut yang dicetuskan oleh batuk kronik, sembelit, mengangkat bebanan yang berat serta obesiti turut menjadi penyumbang prolaps.
Dalam pada itu, sesetengah wanita akan mengalami masalah ini jika ada di kalangan saudara-mara mereka khususnya ibu, ibu saudara atau nenek mengalami masalah yang sama.
Kekenduran atau kelemahan otot dan tisu ini juga boleh dipengaruhi oleh tahap pemakanan dan kesihatan pesakit yang agak rendah berbanding mereka yang sihat.
Wanita yang mengalami masalah otot-otot rahim yang kendur boleh mengalami beberapa gangguan lain seperti:
* Gangguan kencing; kerap kencing, sukar hendak kencing dan paling ketara adalah sulit mengawal kencing di mana air kencing keluar dengan sendirinya.
Contohnya apabila bersin, batuk atau sebarang peningkatan tekanan dalam perut seperti ketawa berdekah-dekah, semput, batuk kronik dan lain-lain.
* Menjejaskan hubungan kelamin; kelonggaran faraj khususnya pada otot yang memegang faraj iaitu otot lantai punggung mengakibatkan kekuatannya untuk mencekang atau mengemut dalam proses hubungan seksual mungkin terganggu sedikit.
* Ketidakselesaan kerana rahim terkeluar daripada farajnya ketika berdiri atau banyak berjalan
* Sakit pinggang; rahim yang jatuh menarik otot dan turut menarik bersamanya urat di bahagian pinggang
* Gangguan kesihatan; dalam kes prolaps yang teruk di mana keseluruhan rahim terkeluar, sering kali pintu rahim tergesel pada seluar dalam menyebabkan luka.
Luka ini sering kali dijangkiti kuman menyebabkan keputihan atau pengeluaran lendir yang banyak.
Dalam jangka panjang, ada juga kes di mana berlaku ketumbuhan akibat daripada pergeseran yang berpanjangan malah ada sesetengah kanser pangkal rahim timbul daripadanya.
Dr. Suresh ditanya mengenai rawatan ataupun langkah pencegahannya berkata:
“Pencegahan terbaik adalah dengan tidak mempunyai anak tetapi sudah tentu ini bukanlah satu saranan yang praktikal kerana semua wanita inginkan zuriat.
“Mengelakkan tempoh bersalin yang berlanjutan dan peralatan bantuan seperti forsep dan vakum mungkin langkah yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata, tisu badan khususnya tisu ligamen dan otot yang memegang faraj dan rahim yang menjadi longgar dan lemah selepas proses kehamilan dan kelahiran sememangnya tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun, pemulihan, walau tidak seratus peratus, boleh dicapai jika seseorang wanita itu mengamalkan senaman menguatkan otot-otot di sekeliling faraj dan lantai punggung seperti senaman kegel.
Di kalangan wanita Barat khususnya golongan profesional dan berpelajaran tinggi, menguatkan otot perut dan lantai punggung ketika hamil dan selepas bersalin sudah menjadi satu tabiat.
Senaman ini boleh dilakukan sewaktu hamil dan sejurus selepas bersalin tanpa perlu menunggu setelah habis tempoh berpantang.
Otot di sekeliling faraj akan menjadi lebih kuat seperti sedia kala jika diamalkan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, kata Dr. Suresh, terapi penggantian hormon yang digunakan oleh wanita menopaus yang mengalami proses atropi juga dapat mengurangkan berlakunya prolaps.
“Rawatan prolaps bergantung kepada tahap keterukannya di mana pada tahap yang lebih lewat, hanya pembedahan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kekenduran faraj dan prolaps.
“Contohnya, pembedahan histerektomi atau Manchester untuk membuang rahim melalui saluran faraj, biasanya disertai dengan pembetulan dinding depan dan belakang faraj,” katanya.
Kes-kes prolaps yang teruk mahupun di kalangan wanita yang telah meningkat umur juga membabitkan pembedahan untuk membetulkan saluran faraj.
Bagi pesakit yang lebih muda dan masih bercadang untuk meneruskan zuriatnya, pembedahan bagi menguatkan atau membetulkan saluran faraj boleh dilakukan.
Bagaimanapun, pembedahan merupakan jalan terakhir setelah lain-lain usaha seperti senaman dan penggunaan kaedah rawatan lain gagal memulihkan pesakit.
Kaedah lain yang dimaksudkan termasuklah penggunaan PSX iaitu sejenis alat bertujuan membantu wanita melakukan senaman atau kaedah rangsangan elektrik pada otot dan lantai punggung mengalami kegagalan.
Sementara itu, dalam kes-kes di mana pembedahan tidak dapat dijalankan terutamanya bagi wanita yang berumur dan mengalami masalah prolaps yang teruk, pesari menjadi pilihan.
Ia merupakan sejenis alat yang dimasukkan oleh pakar sakit puan ke dalam faraj wanita, lazimnya, pesari berbentuk cincin bagi mencegah rahim daripada jatuh ke bawah.
“Pesari yang telah lama digunakan secara meluas perlu ditukar setiap dua hingga tiga bulan sekali.
“Dalam setiap pemeriksaan, pakar sakit puan akan memeriksa sebarang perubahan faraj dan ulser kulit jika ada, menandakan pesari mungkin tidak lagi sesuai digunakan,” kata Dr. Suresh.
Justeru, ujarnya, wanita yang menggunakan pesari perlu menjaga kebersihan faraj untuk mencegah jangkitan kuman.
Tambahnya, jika seseorang itu secara perubatannya adalah sihat untuk menjalani pembedahan, kaedah itu (bedah) adalah lebih baik berbanding penggunaan pesari.
“Pembedahan bagi merawat prolaps adalah selamat dan berkesan dan dengan pakar-pakar berpengalaman, komplikasi boleh dikatakan sangat jarang berlaku.
“Pesakit juga tidak mengalami banyak kesakitan selepas bedah dan majoriti daripada mereka akan sembuh dengan cepat dan berupaya meningkatkan kualiti hidup mereka dengan ketara,” katanya.
Dr. Suresh turut menasihatkan pesakit agar mengawal berat badan dan pemakanan serta rajin bersenam kerana kegemukan boleh menjadi pencetus prolaps.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar